MPP UNIMAS 2009/2010

Thursday, September 23, 2010

KES BUNUH SEMAKIN MENJADI-JADI : KERAJAAN PERLU KAJI SEMULA SISTEM UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA




Saya mewakili mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, keluarga Allahyarham Kamaruddin Shamsudin, keluarga Allahyarham Noorhisham Mohammad, dan keluarga Allahyarham Ahmad Kamil Abdul Karim yang disahkan telah dibunuh dengan kejam sejak dilaporkan hilang pada 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mereka bukan sahaja dibunuh malahan keempat-empat mangsa mereka telah di bakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting Selangor.Laporan akhbar berita harian hari (23/9/2010) ini menyatakan kemungkinan salah seorang mangsa dirogol sebelum dibunuh dan kini pihak polis sedang mengumpul sampel air mani tertuduh.

Perkara ini telah disahkan oleh Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin pada 12 September 2010 yang lalu di dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat polis Banting, Selangor.

Difahamkan bahawa seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di Banting dan bergelar 'Datuk', telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka.

Pembunuhan empat mangsa ini yang berlaku ketika kesemua mangsa sedang menjalani ibadah berpuasa di dalam bulan Ramadhan sudah tentu menghiris hati dan perasaan keluarga dan umat Islam seluruhnya.

Kami mahasiswa UNIMAS memandang serius peningkatan kes jenayah kejam termasuk pembunuhan yang semakin membimbangkan dengan peningkatan yang drastik dengan beberapa laporan kes dipaparkan melalui media massa.Boleh dikatakan hamper setiap hari kes pembunuhan dilaporkan berlaku. Pembunuhan melibatkan seawal bayi yang baru lahir sehinggalah warga emas dilihat seolah-olah menjadi rutin akhbar di Malaysia.

Pelbagai kaedah dan pendekatan telah dilakukan untuk menangani jenayah bunuh dan seumpamanya, pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak yang dilihat mampu mengatasi jenayah berat ini namun jenayah berat seperti ini semakin meningkat dan menakutkan.

Saya kira inilah masa yang tepat untuk Islam dan syariatnya dilaksanakan. Sudah tiba masanya kita memberi ruang kepada undang-undang yang dicipta Allah setelah undang-undang dan sistem ciptaan manusia yang ternyata telah membuktikan kegagalan membendung jenayah di Malaysia.

Salam Perjuangan Mahasiswa,

Muhammad Hasbullah Md Najib
Yang Di-Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Sarawak.

No comments:

Post a Comment