Monday, September 6, 2010
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Assalamualaikum w.b.t & Salam Perjuangan Mahasiswa,
Allahuakbar,
Allahuakbar,Allahuakbar.
Lailaha Illallah Wallahu Akbar.
Allahuakbar Walillahil Hamd.
Dengan menyebut nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Setelah sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa kini tibalah masanya umat Islam meraikan kemenangan dalam menundukkan hawa nafsu kerana Berjaya melaksanakn perintah Allah SWT di sepanjang bulan Ramadhan. Dalam keadaan cuaca yang panas , lapar dan dahaga kita mampu melaksanakan perintah Allah SWT dan mampu menjalani aktiviti seharian sebagai mahasiswa seperti biasa. Bahkan pada malam harinya kita mampu melaksanakan ibadah terawikh, tadarus al-Quran, Qiamullail dan sebagainya.
Hari Raya juga merupakan hari kegembiraan bagi umat Islam, justeru kita disunatkan memperbanyakkan takbir pada hari raya.. Lafaz takbir hari raya itu juga membawa kita mengenang kembali peperangan Khandaq @ Ahzab yang berlaku pada tahun ke-5 Hijrah apabila 3,000 tentera Islam yang berkubu di sekeliling Madinah menghadapi 10,000 tentera kafir Quraisy yang dibantu puak-puak yahudi yang khianat dan kabilah-kabilah Arab dari Bani Nadir, Quraizah dan Bani Wafil.
Takbir membesarkan Allah SWT sebagai tanda keyakinan kita bahawa setiap kemenangan dan anugerah hadir dengan keizinan Allah SWT. Sehebat manapun kejayaan yang kita miliki, setinggi manapun pencapaian kita dalam akademik, sehebat manapun kita sebagai seorang mahasiswa, perlulah diyakini bahawa ia tidak akan melebihi kebesaran yang dimiliki oleh Allah SWT.
Dalam kegembiraan meraikan hari raya aidilfitri , janganlah pula kita melupakan hakikat pada kebesaran Allah SWT dengan kita mencampur adukkan dengan aktiviti yang dmurkai oleh Allah SWT.
Kata para hukama Arab :
“Tidaklah hari raya itu untuk orang berpakaian baru, tetapi hari raya itu untuk orang yang takutkan hari yang dijanjikan ( kiamat)”
Biarlah kita sebagai mahasiswa yang beragama Islam khususnya menghayati takbir yang dilaungkan dengan sebenar-benarnya dan menjadi intipati dalam menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa dan ianya bukan hanya sekadar diulang-ulang sehigga solat sunat hari raya sahaja.
Janganlah pula ketika hari raya sahaja dilaungkan takbirmembesarkan Allah SWT tetapi hari-hari lain kita melupakan Islam dan Allah SWT. Menjadi trend sebahagian masyarakat kita termasuklah sebahagian mahasiswa iaitu mengamalkan Islam pada waktu-waktu tertentu sahaja. Sebagai contoh, pada bulan Ramadhan banyak kelab dan persatuan yang mengadakan aktiviti yang baik seperti berbuka puasa, solat terawikh bersama, ziarah anak yatim dan sebagainya. Tetapi selain bulan Ramdhan, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan lebih menjurus kepada kemungkaran; tarian-tarian yang mendedahkan aurat, hiburan semata-mata dan sebagainya. Alangkah baiknya jika aktiviti-aktiviti yang baik dapat dilaksanakan sepanjang tahun dan sudah tentu ianya akan memberi manfaat yang besar kepada mahasiswa UNIMAS.
Jika kita dapat menjalani kehidupan sebagai mahasiswa berpandukan al-Quran & Sunnah sudah tentu kita akan menjadi mahasiswa yang berkualiti yang bukan hanya berjaya di dunia, tetapi juga di akhirat nanti.
Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir & batin kepada semua mahasiswa. Bagi yang pulang ke kampung halaman, jagalah keselamatan dan kesihatan anda sebaiknya. Saya mendoakan agar anda semua selamat sejahtera dan akan pulang ke kampus dalam keadaan baik.
Salam Aidilfitri, Minal aidin wal faidzin.
Salam Perjuangan Mahasiswa,
Muhammad Hasbullah bin Md Najib
Yang Di-Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Sarawak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment